Johan Qariah Antarabangsa Persembah Trofi Kemenangan Kepada TYT Sarawak
KUCHING: Kejayaan Ustazah Nur Syakura Muhamad Musa meraih gelaran Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 Tahun 1448H/2026M, terus mengharumkan nama Sarawak di persada antarabangsa.
Sebagai tanda penghargaan atas kejayaan tersebut, beliau mengadakan kunjungan hormat bagi mempersembahkan trofi kemenangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Kunjungan itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Ustazah Nur Syakura yang bertugas sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak, meraih gelaran berprestij itu pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Merdeka WTC KL, baru-baru ini.
Kejayaan beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak, malah diharap dapat menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami, menghayati dan memperkukuh penguasaan ilmu Al-Quran.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut menzahirkan penghargaan atas pencapaian tersebut yang mencerminkan potensi anak Sarawak untuk menyerlah dalam bidang tilawah Al-Quran di peringkat antarabangsa.
Turut serta dalam kunjungan berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Mual Suaud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS), Ustaz Mohamad Shalahudin Marzuki.-EDISI UKAS