Projek Jalan Kebun Di Sebuyau Siap Awal, Manfaatkan Pekebun Tempatan
SEBUYAU: Penduduk Kampung Sungai Arus Melayu khususnya pekebun dan pengusaha pertanian kini menikmati kemudahan akses lebih baik susulan penyiapan projek naik taraf jalan kebun bernilai RM165,340nlebih tiga bulan lebih awal daripada jadual asal.
Projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Samarahan (IRSDA) itu menyediakan laluan lebih selesa bagi memudahkan pergerakan penduduk, khususnya dalam mengangkut hasil pertanian ke pasaran.
Projek berkenaan bermula pada 10 Ogos 2026 dan pada asalnya dijadualkan siap pada 9 Februari 2027.
Bagaimanapun, kerja pembinaan berjaya disiapkan pada 22 Oktober 2026, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan tersebut lebih awal.
Skop projek merangkumi pembinaan jalan batu kelikir sepanjang 500 meter dengan lebar empat meter, selain pemasangan pembetung paip berdiameter 900 milimeter di enam lokasi bagi melancarkan sistem saliran.
Penyiapan projek berkenaan dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengangkutan hasil pertanian, mengurangkan kesukaran akses ke kawasan kebun serta menyokong kegiatan ekonomi masyarakat luar bandar.
Majlis penyerahan projek siap pada Khamis itu turut disaksikan wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Tahir Putih, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan, Arief Badiozaman Sapian, wakil Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan, Yunus Akup serta Timbalan Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Jerina Gapor.
Turut hadir Ketua Kampung Arus Melayu, Manap Sabli dan wakil kontraktor. -EDISI UKAS