Sarawak, Belanda Teroka Kerjasama Dalam Sektor Penerbangan, Pengangkutan Hijau
KUCHING: Sarawak dan Belanda meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam sektor penerbangan, pembangunan lapangan terbang, teknologi hidrogen serta penyelesaian pengangkutan masa hadapan.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Belanda ke Malaysia, Michel Deelen kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, di sini, pada Khamis.
Kunjungan hormat yang diiringi Setiausaha Pertama Kedutaan Belanda, Isabelle Niekrake, dan Konsul Kehormat Belanda di Sarawak, Dato Andy Chia itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA), termasuk kajian kebolehlaksanaan yang telah disiapkan oleh Netherlands Airport Consultants (NACO) pada suku pertama 2026.
Dato Sri Lee berkata NACO, sebuah firma perunding penerbangan dari Belanda, telah dilantik oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pembangunan lapangan terbang berkenaan.
Beliau turut menyatakan minat untuk mempelajari pengalaman Belanda dalam pembangunan Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam serta pembangunan kawasan aerotropolis di sekitarnya sebagai rujukan kepada perancangan pembangunan NKIA.
Sementara itu, Michel Deelen menyambut baik inisiatif pembangunan Sarawak dan menyatakan kesediaan Belanda untuk memudah cara penglibatan lebih erat, termasuk kemungkinan mengadakan lawatan teknikal ke Lapangan Terbang Schiphol dan kemudahan berkaitan.
Beliau turut berkongsi usaha Belanda memperkukuh penglibatannya di Sarawak menerusi program kerjasama industri selama tiga tahun yang melibatkan syarikat dan agensi berkaitan bagi menggalakkan penyertaan perniagaan, pertukaran kepakaran teknikal serta peluang pelaburan.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai teknologi hidrogen hijau, pengangkutan awam mampan, pembangunan pelabuhan dan penyelesaian pengangkutan baharu.
Dalam masa sama, Dato Sri Lee turut memberi taklimat mengenai perkembangan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bakal memperkenalkan kenderaan Transit Rapid Autonomi (ART) berkuasa hidrogen dengan sokongan bas pengantara hidrogen.
Katanya, Sarawak menghargai pengalaman dan kepakaran Belanda serta berharap pertemuan itu dapat membuka ruang kepada kerjasama lebih praktikal yang membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
Kunjungan hormat itu merupakan yang pertama oleh Michel Deelen kepada Dato Sri Lee sejak beliau memulakan pelantikan diplomatiknya dan diadakan bersempena lawatan kerja beliau ke Kuching dari 21 hingga 23 Oktober 2026.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MOTS, Datu Wong Hee Sieng, Ketua Bahagian Pengangkutan Penerbangan, Dayang Nurhayati Abang Ahmad, Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik, Ts. Chong Chi Fam serta Pemangku Ketua Bahagian Penggubalan Dasar dan Pengurusan Projek, Catherine Lee Pi Ying.-EDISI UKAS