Kejohanan Golf Antarabangsa Tarik 156 Peserta, Rancakkan Pelancongan Sarawak
KUCHING: Penganjuran Kejohanan Sarawak International Senior Amateur Golf Championship 2026 (SISAGC 2026) yang menghimpunkan 156 pemain dari enam negara dijangka merancakkan sektor pelancongan sukan dan industri hospitaliti Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu berpotensi menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada industri pelancongan tempatan.
Menurut beliau, penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa bukan sahaja menyediakan platform persaingan kepada peserta, malah membuka peluang kepada mereka meneroka keunikan budaya, destinasi pelancongan dan pelbagai tarikan di Sarawak.
“Sebarang acara yang memberi manfaat, khususnya acara bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan dari luar Sarawak, amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran SISAGC 2026 di sini, pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, kejohanan itu turut menyasarkan pemain golf senior yang berpotensi melanjutkan tempoh penginapan bersama keluarga, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pelancong dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Sementara itu, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SISAGC 2026, Datuk Eddie Abdullah berkata, sokongan Kerajaan Sarawak menerusi geran pelancongan acara menjadi pemangkin kepada penganjuran kejohanan berkenaan.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Dato Sri Abdul Karim kerana mempercayai visi kami dan memberikan sokongan padu sejak hari pertama.
“Sokongan menerusi geran pelancongan acara menjadi asas penting dalam merealisasikan platform bertaraf Asia dan serantau ini,” ujarnya.
Kejohanan anjuran Borneo Superact Events itu akan berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) pada 24 hingga 25 Oktober ini, melibatkan penyertaan pemain dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Jepun.
Pertandingan 36 lubang itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM22,000, dengan empat kategori lelaki dan tiga kategori wanita.
Penyertaan bagi kategori wanita dibuka kepada pemain berusia 50 tahun ke atas.-EDISI UKAS