Borneo Empurau Farm & Resort Produk Pelancongan Pertama Sarawak Raih Platinum MyTQA
SERIAN: Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) mencatat sejarah apabila menjadi produk pelancongan pertama di Sarawak menerima pengiktirafan Platinum, iaitu tahap tertinggi dalam program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA).
Pencapaian itu membuktikan keupayaan produk pelancongan Sarawak memenuhi standard kualiti yang tinggi, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan yang berkualiti dan berdaya saing.
Daripada 116 produk pelancongan di seluruh negara yang menerima pengiktirafan MyTQA, sebanyak 10 daripadanya berada di Sarawak dengan pencapaian antara tahap Silver hingga Platinum.
BEFR kini menyertai kelompok 30 produk pelancongan di seluruh Malaysia yang berjaya mencapai tahap pengiktirafan tertinggi berkenaan.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada pengusaha, malah mencerminkan komitmen penggiat industri dalam meningkatkan kualiti produk serta memperkukuh ekosistem pelancongan negara.
Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) terus komited memperkasa kualiti produk dan mutu perkhidmatan pelancongan menerusi pelaksanaan program MyTQA.
Program berkenaan menyediakan tiga tahap pengiktirafan, iaitu Silver, Gold dan Platinum, berdasarkan penilaian terhadap kualiti produk, kemudahan serta mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
Hadir dalam program itu pada Khamis ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato Shabarudin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana MOTAC, Dr Norman Ahmad, Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan MOTAC, Dr Johnny Andrew, Pengarah Pejabat MOTAC Sarawak, Debbie Jenggut Nyelang, Pengurus BEFR, Dato Yoong Fook Heng dan Timbalan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Japanie Bujang.-EDISI UKAS