STEPS Summit 2026 Perkukuh Kesejahteraan Psikologi Warga Kampus
KOTA SAMARAHAN: Kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental perlu diberikan perhatian serius dalam mendepani cabaran era digital, khususnya bagi membentuk warga kampus yang berdaya tahan serta mampu mengurus tekanan kehidupan dengan berkesan.
Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA), Dato’ Dr Abd. Halim Mohd Hussin berkata, perkhidmatan kaunseling memainkan peranan penting dalam membantu individu menangani pelbagai cabaran psikologi, termasuk tekanan akademik, pekerjaan dan pengaruh teknologi digital.
“Kesejahteraan psikologi perlu diberikan perhatian serius kerana kesihatan mental merupakan asas penting dalam membentuk individu yang berdaya tahan dan mampu menghadapi pelbagai cabaran kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Striving Towards Emotional and Psychological Support (STEPS Summit) 2026 di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Khamis.
Penganjurannya menghimpunkan mahasiswa, pengamal kaunseling, pakar kesihatan mental, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik menerusi pelbagai forum, perkongsian ilmu serta aktiviti interaktif.
Antara pengisian utama termasuk pengurusan stres, bantuan awal psikologi atau Psychological First Aid (PFA), literasi kewangan serta forum 'Silent Struggles: Membongkar Realiti Kesihatan Mental dalam Komuniti'.
Program itu turut menampilkan sesi inspirasi bersama Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan ikon motivasi orang kurang upaya (OKU), Mohd Sukur Ibrahim, selain penyampaian hadiah Pertandingan Video Kreatif STEPS Summit 2026.
Selain tekanan akademik dan pekerjaan, program berkenaan turut memberikan tumpuan kepada cabaran peningkatan kos sara hidup, keletihan emosi , buli siber serta pengaruh media sosial dan kecerdasan buatan (AI) terhadap kesejahteraan mental.
Penganjuran STEPS Summit 2026 juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta SDG 17: Kerjasama demi Matlamat.
Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman.-EDISI UKAS