Skuad Prihatin Pantai Damai Santuni Lima Keluarga Di Zon Santubong
KUCHING: Lima keluarga yang memerlukan di Zon Santubong menerima pelbagai bentuk bantuan menerusi program ziarah kasih anjuran Skuad Prihatin Pantai Damai pada Khamis.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama isteri turut menyertai kunjungan ke rumah penerima bagi menyantuni mereka serta meninjau keperluan dan keadaan kehidupan masing-masing.
Kunjungan tersebut melibatkan tiga keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Petra Jaya serta masing-masing sebuah keluarga di Taman Family Park dan Kampung Rampangi Skim.
Dalam program berkenaan, bantuan berupa kerusi roda, barangan keperluan harian, bakul makanan dan sumbangan kewangan disampaikan bagi membantu meringankan beban penerima.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Skuad Prihatin Pantai Damai dalam mendekati masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan dan mereka yang memerlukan perhatian serta sokongan kebajikan.
Program seumpamanya diharap dapat membantu meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan, di samping memperkukuh semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.-EDISI UKAS