SK Mata Parang, SJK Chung Hua Asajaya Mara Ke Final InnoWaste 2026
KOTA SAMARAHAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Mata Parang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Asajaya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Pertandingan InnoWaste: Circular Classroom 2026.
SK Mata Parang muncul juara, manakala SJKC Chung Hua Asajaya meraih tempat kedua dalam pertandingan yang berlangsung di Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada Khamis.
Kedua-dua sekolah itu bakal bersaing pada peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 27 Oktober ini di Pusat Komuniti Dayak & Bidayuh Association, Serian.
Pertandingan berkenaan dianjurkan sempena Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 anjuran Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).
Penganjurannya bertujuan memupuk kreativiti dan pemikiran inovatif dalam kalangan pelajar di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa, amalan kitar semula serta kelestarian alam sekitar.
Sebanyak lima sekolah menyertai pertandingan tersebut, iaitu SK Dato Traoh, SJKC Chung Hua Bako, SK Mata Parang, SK Dato Mohd Musa dan SJKC Chung Hua Asajaya.
Menerusi pertandingan itu, para pelajar berpeluang mengetengahkan idea kreatif berkaitan pengurusan sisa dan kitar semula sekali gus menggalakkan penerapan amalan mesra alam sejak di bangku sekolah.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap (JKT) Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MPKS, Kr. Jacquline Jutie, Ahli MPKS, Kr. Jailani Jaya serta kakitangan MPKS.-EDISI UKAS