EKSAN Ke-8 2026 Dedah Peserta Kepada Proses Rawatan Air dan Pemantauan Hidrologi Kapit
KAPIT: Seramai 80 peserta Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) Ke-8 Tahun 2026 mengadakan lawatan teknikal ke Loji Rawatan Air Kapit dan stesen hidrologi berhampiran pada September lepas bagi mendapatkan pendedahan mengenai proses rawatan air bersih serta pemantauan sumber air.
Lawatan itu diadakan sempena EKSAN Ke-8 Tahun 2026 dengan penglibatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Kapit serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Kapit.
Sepanjang lawatan di Loji Rawatan Air Kapit, peserta diberikan penerangan oleh pihak JBALB Kapit mengenai proses rawatan air mentah melalui beberapa peringkat sebelum dibekalkan kepada pengguna untuk kegunaan harian.
Peserta kemudian meneruskan lawatan ke stesen hidrologi berhampiran dengan diberikan penerangan oleh pihak JPS Kapit mengenai pengumpulan data hujan serta kepentingannya dalam pemantauan hidrologi dan pengurusan sumber air.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada peserta memahami peranan pemantauan data hujan dalam menilai keadaan sumber air serta menyokong perancangan dan pengurusan sumber air secara berterusan.
Selesai lawatan, peserta EKSAN Ke-8 Tahun 2026 meneruskan perjalanan ke Rumah Ajan, Nanga Apau, Sungai Melinau, Mujong bagi menyertai aktiviti seterusnya yang telah dijadualkan.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS Malaysia Ir. Anita Ainan, Ketua Jabatan JPS Kapit Inja Hellegers Achong; Ketua Jabatan JBALB Kapit TS. Norrisson Sanggau Mathiew Paran serta Ketua Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Bahagian Kapit Carol Bungan Leo.-EDISI UKAS