Pendidikan Awal Asas Perpaduan, Kreativiti Kanak-Kanak
BINTULU: Pendidikan awal memainkan peranan penting dalam menyemai nilai perpaduan, membina keyakinan diri dan mengembangkan kreativiti kanak-kanak sebagai asas pembentukan generasi yang menghormati kepelbagaian masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, Tabika Perpaduan menyediakan ruang kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, belajar bekerjasama dan mengamalkan nilai murni sejak usia muda.
Menurutnya, Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu Tahun 2026 turut menjadi platform untuk mencungkil bakat serta menggalakkan kanak-kanak membina keyakinan diri melalui aktiviti pembelajaran dan persembahan.
“Yang penting kamu berani mencuba, belajar sesuatu yang baharu dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kapitan Toh Kouk Ping, pada Majlis Penutupan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Bintulu Tahun 2026, pada Khamis.
Program bertemakan ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ itu menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk drama muzikal, pertandingan membaca, bicara berirama dan action song bagi memberi peluang kepada kanak-kanak menyerlahkan kebolehan masing-masing.
Penyertaan dalam aktiviti berkenaan juga membantu memupuk semangat kerjasama, sikap saling menghormati dan hubungan positif antara kanak-kanak daripada latar belakang berbeza.
Dalam pada itu, Johnny menekankan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan bagi membantu guru menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih kreatif dan menarik.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi perlu disesuaikan dengan umur serta keperluan kanak-kanak, tanpa mengetepikan peranan guru dalam memberikan bimbingan, perhatian dan sokongan sepanjang proses pembelajaran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Bintulu, guru, penolong guru serta ibu bapa atas komitmen mereka dalam menyokong pendidikan dan perkembangan awal kanak-kanak.– EDISI UKAS