Alffy Rev, Novia Bachmid, Farhad Meriahkan SNF26 di Mukah
MUKAH: Persembahan artis Indonesia, Alffy Rev, Novia Bachmid dan Farhad bakal menghangatkan malam kemuncak Festival Saga Nusantara 2026 (SNF26) yang berlangsung di Petanak Beach Chalet and Cafe (PBCC), di sini, pada 24 Oktober ini.
Penyelaras SNF26, Nur Faydyzah Abdul Aziz berkata, festival bertemakan “Warisan Bertemu Warisan: Melanau x Jawa” itu bertujuan memperkukuh pertukaran budaya antara masyarakat Melanau di Sarawak dengan masyarakat Jawa di Indonesia.
Menurutnya, festival yang berlangsung dari 21 hingga 25 Oktober itu turut menampilkan pelbagai pengisian seni, muzik, tarian dan tradisi bagi memperkenalkan keunikan warisan kedua-dua masyarakat kepada khalayak lebih luas.
Mukah dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kekayaan budaya, tradisi dan warisan daerah itu yang berpotensi diketengahkan melalui platform berkenaan.
Selain persembahan utama, Novia Bachmid turut dijadualkan membuat persembahan secara langsung sempena pengalaman Patehan Diraja Nusantara pada 24 Oktober.
Pengunjung boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2U, dengan kemasukan percuma pada 21 hingga 23 Oktober serta 25 Oktober, tertakluk kepada pendaftaran dan kapasiti sesi.
Bagi program pada 24 Oktober, Pas Siang dan Patehan ditawarkan pada harga RM85, Pas Malam RM88, manakala Pas Gemilang Nusantara berharga RM145 merangkumi pengisian siang dan malam.
Pendaftaran bengkel membatik dan menganyam pula perlu dibuat secara berasingan.-EDISI UKAS