Kerajaan Sarawak Peruntuk RM8.5 Juta Perkasa Industri Sagu, Nipah
BETONG: Pembangunan dua pusat pemprosesan bernilai RM8.5 juta serta penyaluran bantuan input pertanian kepada pekebun kecil menjadi antara langkah Kerajaan Sarawak memperkukuh industri sagu dan nipah, sekali gus meningkatkan produktiviti serta pendapatan pengusaha tempatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam berkata, penggunaan teknologi moden dan pembangunan kemudahan pemprosesan perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta daya saing produk tempatan.
"Menerusi inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), seramai 61 penerima di kawasan Saribas menerima manfaat Fasa Pertama Program Pemulihan dan Pemerkasaan Pekebun Kecil Sagu serta Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah bagi Kelestarian Bekalan Nira," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis agihan bantuan berkenaan di sini pada Khamis.
Daripada jumlah itu ujarnya, 39 pekebun kecil sagu menerima baja Fertara, manakala 22 pengusaha nipah dibekalkan peralatan menuak bagi membantu memudahkan kerja dan meningkatkan kecekapan pengumpulan nira.
Selain bantuan tersebut, Lembaga Sagu dan Nipah (SNDB) katanya merancang pembangunan Pusat Pemprosesan Sagu di Kampung Dit, Debak, dengan peruntukan RM6 juta serta Pusat Pemprosesan Gula Apong di Kampung Buda, Spaoh, berjumlah RM2.5 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Kemudahan berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti pemprosesan, menggalakkan penggunaan teknologi dan membuka peluang kepada pengusaha menghasilkan produk bernilai tambah.
Datuk Dr. Mohammad Razi turut menekankan kepentingan pengurusan kemudahan yang baik bagi memastikan pelaburan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya, selain menggalakkan pengusaha merancang pengeluaran berdasarkan kesesuaian tanah, kos operasi dan permintaan pasaran.
Kerjasama dalam aspek pengeluaran, kawalan kualiti dan pemasaran juga penting bagi memastikan industri sagu dan nipah terus berkembang serta menyumbang kepada ekonomi komuniti setempat.-EDISI UKAS