Lapan Kerjasama Strategik Perkukuh Potensi Warisan Sarawak di Peringkat Antarabangsa
KUCHING: Lapan perjanjian strategik dengan institusi dari enam negara membuka ruang kepada Sarawak memperluas penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pemeliharaan warisan budaya, sekali gus memperkukuh aspirasi negeri sebagai pusat arkeologi dan warisan budaya yang diiktiraf di Asia Tenggara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama antarabangsa itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi warisan dan penyelidikan Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan kerjasama tersebut perlu dinilai berdasarkan hasil yang dicapai, bukan sekadar jumlah perjanjian yang dimeterai.
“Ukuran sebenar perjanjian ini bukanlah berapa banyak dokumen yang ditandatangani, tetapi apa yang berjaya kita capai bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew ketika menyampaikan ucapan penutupan Sarawak Museum Talk ICOMOS 2026, di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan perlu diterjemahkan kepada penyelidikan bersama, pertukaran profesional, pembangunan kapasiti dan inisiatif pendidikan yang memberikan manfaat kepada institusi serta masyarakat.
Menurutnya, pemeliharaan warisan juga memerlukan penglibatan komuniti sebagai penjaga tradisi, memori dan pengetahuan yang diwarisi turun-temurun.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Sarawak tidak seharusnya mengorbankan warisan yang menjadi identiti unik negeri ini, sebaliknya pemuliharaan dan pembangunan perlu bergerak seiring melalui perancangan teliti serta penyertaan masyarakat.
Sarawak Museum Talk, ICOMOS 2026 merupakan sebahagian daripada program yang dianjurkan Jabatan Muzium Sarawak dari 20 hingga 24 Oktober 2026, bersempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS 2026.
Tiga program lain yang dianjurkan ialah Night at the Museum, Sarawak Museum Heritage Walk dan Sarawak Museum Tour bagi menghubungkan penyelidikan dengan pengalaman budaya serta memperluas keterlihatan Sarawak dalam komuniti warisan antarabangsa.
Turut hadir ialah Presiden Kehormat Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS), Profesor Teresa Patrício, Presiden ICOMOS Malaysia, Faisal Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Anielia Siam.-EDISI UKAS