SABERKAS Perkukuh Jaringan Belia, Keahlian Cecah 57,928 Orang
KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus memperluas jaringan pembangunan belia di Sarawak menerusi 82 cawangan di seluruh negeri serta penubuhan kelab di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SABERKAS kini mempunyai keseluruhan 57,928 ahli, termasuk 54,233 ahli biasa, sekali gus mencerminkan perkembangan keahlian pertubuhan itu.
Menurut beliau, kelab SABERKAS turut diwujudkan di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Swinburne University of Technology dan Kolej Universiti i-CAT bagi memperluas penglibatan mahasiswa dalam gerakan belia.
“Kita berharap melalui kelab-kelab ini, apabila mereka tamat pengajian, mereka dapat membantu membangunkan SABERKAS ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak Ke-61 di The Everly Lhesson Hotel, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, SABERKAS melaksanakan 66 program dari Julai hingga September tahun ini, melibatkan 43 program anjuran sendiri dan 23 program dengan kerjasama rakan strategik.
Daripada jumlah itu, sebanyak 27 program melibatkan seminar, bengkel, mesyuarat dan taklimat, diikuti 20 program sosial, keusahawanan dan kebajikan, 17 program sukan, rekreasi dan kebudayaan serta dua program hal ehwal wanita.
Beliau berkata, gabungan pengalaman pemimpin sedia ada dengan idea baharu daripada golongan muda penting bagi memastikan SABERKAS terus berkembang sebagai platform melahirkan pemimpin masa depan Sarawak.-EDISI UKAS