Dari Bayi Hingga Alam Kerjaya, Inisiatif Premier Sarawak Mengubah Kehidupan Rakyat
KUCHING: Di sebalik setiap bantuan yang disalurkan, ada kehidupan yang ingin diperbaiki, impian yang mahu direalisasikan dan masa depan yang sedang dibina.
Daripada seorang bayi yang baru mengenal dunia, keluarga yang berusaha meneruskan kehidupan, anak pedalaman yang mengejar cita-cita sehinggalah golongan profesional yang kembali menabur bakti, pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak kini membawa makna tersendiri kepada kehidupan rakyat.
Bagi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pendekatan pembangunan inklusif yang dilaksanakan kerajaan bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi membuka peluang kepada setiap anak Sarawak untuk membina kehidupan lebih baik tanpa mengira latar belakang, tempat tinggal atau kedudukan sosioekonomi.
Kisah Sylvia Jiau dari Kampung Semadang, Padawan, misalnya, memperlihatkan bagaimana perhatian terhadap kesejahteraan rakyat bermula seawal kelahiran.
Beliau menerima Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450, manakala anak lelakinya yang kini berusia lapan bulan mempunyai simpanan permulaan RM1,000 menerusi Endowment Fund Sarawak (EFS) untuk kegunaan apabila mencapai usia 18 tahun.
Walaupun jumlah itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, bagi sebuah keluarga, ia merupakan permulaan kepada perancangan masa depan seorang anak.
Bagi Pusspa Trozen Vera Samy dari Tabuan Dayak, Kuching, manfaat yang diterima hadir dalam bentuk bantuan keperluan harian.
Sebagai penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kategori bujang, beliau turut menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus serta pengurangan RM5 pada bil air setiap bulan.
Bantuan seumpama itu memberi ruang kepada penerima untuk mengurangkan sebahagian perbelanjaan asas dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
Di Kota Samarahan, Anuar Peli yang bekerja sebagai pemandu van dan mempunyai enam anak pula menerima bantuan sewa kediaman sebanyak RM200 sebulan.
Bagi seorang ketua keluarga yang perlu memastikan keperluan isteri dan enam anak terus terjaga, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan tanggungan bulanan.
Sementara itu, Leong Soi Mei dari Sarikei menerima bantuan RM10,000 menerusi Skim Bantuan Deposit Perumahan dan Bayaran Balik (HDRAS), yang membantu mengurangkan beban kewangan untuk memiliki rumah pertama.
Membuka Pintu Pendidikan, Mengubah Masa Depan
Jika bantuan kebajikan membantu meringankan kehidupan hari ini, pendidikan pula menjadi jambatan untuk mengubah kehidupan generasi akan datang.
Bagi Fathyyass Lawai Tan, anak Penan dari Ulu Baram, peluang mengikuti kurikulum Cambridge di Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) membuka laluan kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.
Peluang sama turut dinikmati Melvina Nara anak Alexander Betie, anak Iban dari Rumah James, Lubuk Kelampu, Betong.
Kisah kedua-dua pelajar ini memperlihatkan bahawa lokasi tempat tinggal dan latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk anak Sarawak memperoleh pendidikan berkualiti.
Di peringkat pengajian tinggi, peluang membina masa depan diteruskan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Gloria Dau Aju dari Uma Belor, Belaga, kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Teknologi di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), manakala Priska Emban Kenedy dari Rumah Uri, Bebuling Atas, Spaoh, melanjutkan pengajian dalam bidang Agroteknologi di Kolej Universiti i-CATS.
Seorang lagi penerima, Syaza Irwani Adriana Mohd Qushairi, mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengkomputeran di Curtin University Malaysia.
Di Miri, Terry Lin Zhen Bin, lepasan Sekolah Menengah Pei Min, turut memanfaatkan FTES untuk memulakan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer di Swinburne University of Technology Sarawak Campus.
Mereka datang daripada latar belakang dan tempat yang berbeza, namun berkongsi satu persamaan, iaitu peluang untuk melangkah lebih jauh melalui pendidikan tinggi.
Tahun ini sahaja, kira-kira 6,246 anak Sarawak mengikuti 64 program pengajian di bawah FTES, sekali gus memperlihatkan usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada generasi muda negeri ini.
Anak Sarawak Kembali Menabur Bakti
Namun, perjalanan membina masa depan Sarawak tidak terhenti apabila anak-anak negeri berjaya menamatkan pengajian.
Sebaliknya, ilmu, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh turut menjadi aset penting untuk membangunkan tanah kelahiran sendiri.
Antara yang diketengahkan ialah Siti Aisyah Mohd, kini Pengurus Tadbir Urus dan Pematuhan di Sarawak Petchem, yang membawa pengalaman dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk pembangunan program pembiayaan agroteknologi bernilai RM200 juta di Agrobank.
Turut menyumbang kepakaran di syarikat sama ialah Abang Noor Akmal Yahya Abang Rosli, Pengurus Kejuruteraan dan Teknologi, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri petrokimia serta pembuatan bahan kimia di enam negara.
Aldrin Glenn Roland pula menyumbang kepakarannya sebagai Jurutera Kanan Peralatan Berputar di Sarawak Petchem.
Kisah Randu Rangen dari Kampung Stabut, Padawan, juga membuktikan bahawa anak Sarawak mampu melangkah jauh dalam bidang profesional.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Alam Sekitar, Politik dan Masyarakat dari University College London sebelum kembali berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di PETROS.
Dalam bidang kesihatan pula, Jacinta Lim dari Limbang menerima biasiswa penuh Yayasan Sarawak pada 2016 untuk melanjutkan pengajian Sarjana Fisioterapi Klinikal di Universiti Curtin, Australia.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh, beliau kemudiannya menubuhkan Rehab Concept yang kini mengendalikan tiga pusat fisioterapi di Kuching dan Petaling Jaya.
Kejayaan mereka bukan sahaja mencerminkan potensi bakat anak tempatan, malah memperlihatkan bagaimana pelaburan dalam pembangunan modal insan mampu melahirkan tenaga profesional, usahawan dan pakar yang menyumbang kembali kepada masyarakat.
Daripada simpanan pertama seorang bayi, bantuan yang meringankan beban keluarga, peluang pendidikan untuk anak pedalaman hinggalah kepakaran anak negeri yang kembali dimanfaatkan, setiap kisah membawa mesej yang sama.
Pembangunan bukan sekadar diukur melalui angka peruntukan atau projek yang dilaksanakan, tetapi juga melalui peluang yang terbuka, beban yang dapat diringankan dan masa depan yang mampu diubah dalam kehidupan rakyat.-EDISI UKAS