Di Sebalik Kemajuan Sarawak, Ada Keringat Penjawat Awam
KUCHING: Di sebalik setiap jambatan yang dibina, jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman dan kemudahan asas yang dinikmati rakyat, terserlah sumbangan serta keringat penjawat awam yang bekerja tanpa mengira waktu dan lokasi.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sumbangan seluruh jentera perkhidmatan awam tidak boleh dipandang kecil kerana setiap kejayaan pembangunan negeri merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak.
Menurut beliau, perkara itu turut ditekankan Premier Sarawak ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Rabu lalu, yang mengiktiraf peranan penjawat awam di sebalik kemajuan negeri.
“Jasa mereka ada pada setiap jambatan. Maksudnya, jambatan besar, apa saja yang dibuat, jambatan panjang, jasa kita ada. Bukan jasa satu orang sahaja, semua memainkan peranan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Sesi Libat Urus Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) bersama PANS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak di sini, pada Khamis.
Datuk Amar Mohamad Abu menambah, dedikasi penjawat awam, sama ada yang bertugas di bandar mahupun kawasan luar bandar, menjadi antara penggerak utama dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik dapat disalurkan kepada rakyat.
Jelas beliau, komitmen dan kerjasama berterusan seluruh jentera perkhidmatan awam amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar yang dirasai masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan semangat kebersamaan dan kecemerlangan perkhidmatan dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir