Terima Kasih Premier Sarawak, FTES Ringankan Beban Keluarga
PAKAN: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membawa sinar baharu kepada keluarga Munsang Sangkan dalam merealisasikan impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Bagi pesara guru berusia 60 tahun itu, inisiatif Kerajaan Sarawak berkenaan amat bermakna apabila anaknya, Patracia Fierla Munsang, berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Curtin Malaysia, Miri.
Munsang berkata, pengalaman membiayai pengajian anak sulung mereka di UNITAR sebelum ini memerlukan keluarganya mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menampung kos pendidikan.
“Kami juga bergantung pada hasil tanaman lada hitam dan kelapa sawit serta berusaha menyimpan sebahagian pendapatan untuk kegunaan keluarga, termasuk pendidikan anak-anak,” katanya ketika ditemui UKAS.
Menurutnya, kos penginapan setiap semester turut memerlukan perancangan kewangan yang rapi, justeru pelaksanaan FTES memberikan kelegaan kepada keluarga dalam menyediakan peluang pendidikan lebih baik untuk anak-anak.
“Apabila bantuan ini menjadi kenyataan, kami sekeluarga berasa sangat gembira, terharu dan bangga kerana Kerajaan Sarawak menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan generasi muda,” ujarnya.
Beliau bersama isterinya, Pau Ugik, 53, menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah bermakna dalam meringankan beban kewangan keluarga, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada anak-anak Sarawak mengejar cita-cita.
Munsang berharap skim berkenaan diteruskan supaya lebih ramai anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian berdasarkan kelayakan akademik tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan.
Beliau turut berpesan kepada anak-anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh, mencapai keputusan cemerlang dan menghargai peluang pendidikan yang tersedia.
“Kami berharap anak-anak berjaya menamatkan pengajian, memperoleh pekerjaan yang baik dan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya lagi.
Dalam nada penuh kesyukuran, Munsang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan FTES yang memberi kelegaan kepada keluarganya.
Bagi keluarga ini, peluang pendidikan yang terbuka bukan sekadar meringankan beban perbelanjaan, tetapi turut membawa harapan untuk masa depan anak-anak yang lebih cerah.-EDISI UKAS