Kelestarian Alam Sekitar Perlu Seiring Keharmonian Masyarakat
KUCHING: Kelestarian alam sekitar perlu bergerak seiring dengan usaha mengekalkan keharmonian masyarakat bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan manusia dan alam semula jadi terus terpelihara.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, kepelbagaian etnik, budaya dan agama di Sarawak menjadi asas kepada keharmonian masyarakat yang perlu terus dipelihara, termasuk dengan memperluas perhatian terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kita di Sarawak mempunyai pelbagai kumpulan etnik dengan latar belakang budaya masing-masing, namun semuanya bersatu membentuk budaya dan wawasan Sarawak.
“Kepelbagaian ini mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat walaupun terdapat perbezaan kepercayaan dan latar belakang kaum.
“Hari ini, kita mahu memperluas pendekatan ini dengan turut mengambil kira alam sekitar kerana kelestariannya perlu bergerak seiring dengan kehidupan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak (ICOMOS) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari berharap, usaha memelihara keharmonian dan kelestarian dapat diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi peranan ICOMOS dalam memelihara warisan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan dunia yang aman.
Selain itu, beliau turut berharap ICOMOS dapat memperluas usaha pemeliharaan warisan dan meningkatkan pemahaman generasi muda mengenai kepentingan monumen serta tapak bersejarah, termasuk penemuan saintifik di rantau ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Presiden National Heritage Trust (Petra National Trust - PNT) Jordan merangkap Naib Presiden Kumpulan Serantau Negara-negara Arab bagi ICOMOS) dan juga Duta Muhibbah bagi Warisan Budaya di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Yang Teramat Mulia Puteri Dana Firas serta Presiden ICOMOS Malaysia Faisal Abdul Rahman.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir