Projek Naik Taraf Perkarangan Pejabat Daerah Daro Lama Siap Lebih Awal
DARO: Projek naik taraf perkarangan Pejabat Daerah Daro Lama berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus meningkatkan keselesaan orang ramai yang berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan di premis berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan projek itu merupakan usaha penting dalam menambah baik kemudahan prasarana awam demi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, projek ini telah siap mendahului jadual asal yang ditetapkan.
“Semoga penambahbaikan ini dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, khususnya orang ramai yang datang mendapatkan perkhidmatan di beberapa agensi dan jabatan kerajaan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Daro Lama pada Jumaat bagi menyaksikan penyerahan siap projek berkenaan.
Dalam pada itu, Dr Safiee turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Matu dan Daro selaku agensi pelaksana, pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan jayanya.
Menurut beliau, pelaksanaan projek penambahbaikan kemudahan awam seperti itu amat penting bagi memastikan persekitaran premis kerajaan sentiasa berada dalam keadaan baik, teratur dan selesa untuk kegunaan masyarakat.
Kemudahan yang lebih baik bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan orang ramai, malah turut menyokong kelancaran urusan harian masyarakat yang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di Pejabat Daerah Daro Lama.
Hadir sama, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, wakil Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Daro Sazali Aris, wakil Setiausaha Majlis Daerah Matu dan Daro Faizuddin Jamaluddin, serta Kaunselor Hamden Taha. -EDISI UKAS