Sarawak & Libya Teroka Kerjasama Pendidikan Tinggi & Latihan
KUCHING: Sarawak dan Libya meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan latihan.
Komitmen kerjasama berkenaan dihazirkan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Libya ke Malaysia, Mohamed A.M. Attia ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Jumaat.
Mohamed A.M. Attia berkata, kunjungan itu membuka ruang perbincangan bagi mengenal pasti peluang kerjasama antara Libya dan Sarawak, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dan latihan.
“Kunjungan hari ini merupakan kunjungan hormat bagi membincangkan dan membuka ruang kerjasama. Insya-Allah, perbincangan ini akan diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dan latihan,” katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kesudian menerima kunjungan berkenaan, yang disifatkannya sebagai sangat berjaya.
Menurutnya, kunjungan itu merupakan kali kedua beliau ke Sarawak selepas menghadiri Sambutan Hari Malaysia pada September lalu.
Sarawak juga merupakan negeri keempat yang dikunjunginya di Malaysia selepas Johor, Pulau Pinang dan Pahang.
Beliau berharap dapat kembali ke Sarawak bagi meneruskan perbincangan mengenai potensi kerjasama yang telah dibuka menerusi pertemuan tersebut.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed, Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Dato Janin Girie dan Pembantu Duta Besar Libya, Emielly Dawas. -EDISI UKAS