Pembubaran DUN Sarawak Berkuat Kuasa 26 Oktober, Buka Laluan PRN Sarawak Ke-13
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembubaran itu mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Oleh itu, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, dan DUN yang baharu hendaklah dipanggil bersidang pada suatu tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran tersebut bagi membolehkan urusan yang sewajarnya dibuat.
Menurutnya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian akan ditetapkan serta diumumkan oleh SPR.
Beliau berkata, DUN Sarawak Ke-19 mula bersidang pada 14 Februari 2022 di bawah Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak dan berterusan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertama, melainkan dibubarkan lebih awal.
Untuk rekod, DUN Sarawak Ke-19 akan berakhir pada Februari 2027.
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato' Fazzrudin Abdul Rahman.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir