Pelajar Digesa Dapatkan Bantuan Sebelum Konflik Jadi Serius
BINTULU: Pelajar yang berdepan tekanan emosi atau konflik peribadi digesa mendapatkan bantuan daripada guru, kaunselor dan ibu bapa sebelum masalah yang dihadapi menjadi lebih serius atau mencetuskan tindakan di luar kawalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata pelajar perlu menyedari bahawa mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah bijak untuk menangani masalah secara matang tanpa menggunakan keganasan.
“Meminta bantuan bukan tanda kelemahan. Kadang-kadang, meminta bantuan ialah langkah paling bijak sebelum sesuatu masalah menjadi lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Jalinan Strategik dan Penyerahan Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu, pada Jumaat.
Mengulas insiden keselamatan di sebuah sekolah di Kuching baru-baru ini yang mengakibatkan seorang guru cedera, Johnny berkata kejadian itu perlu dijadikan peringatan tentang pentingnya menangani konflik secara aman dan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai punca kejadian selagi siasatan polis masih berjalan.
Beliau turut menggesa pelajar supaya lebih peka terhadap keadaan rakan sekeliling dan menggalakkan mereka yang menghadapi kesukaran mendapatkan sokongan daripada individu yang dipercayai.
Pada majlis itu, sebanyak 606 beg sekolah diserahkan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam bagi menyokong persediaan mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). -EDISI UKAS