Kerajaan Sarawak Terus Berfungsi Dalam Kapasiti Sementara
KUCHING: Kerajaan Sarawak dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus melaksanakan tanggungjawab pentadbiran dalam kapasiti sementara selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 26 Oktober ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan terus beroperasi bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh ini, Kerajaan akan melaksanakan tanggungjawabnya atas kapasiti sebagai kerajaan sementara, dengan mematuhi keperluan dan konvensyen perlembagaan yang terpakai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat.
Premier Sarawak berkata, pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan terus berjalan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat kekal terpelihara.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menyeru semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong, supaya sentiasa menghormati undang-undang serta mematuhi peraturan sepanjang tempoh pilihan raya.
Beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama mengekalkan keselamatan, keharmonian dan perpaduan Sarawak, di samping membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas dan penuh keyakinan demi masa depan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh pentadbiran, selain menghargai khidmat ahli-ahli DUN dan perkhidmatan awam kepada rakyat.
Untuk rekod, pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober 2026 membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang dalam tempoh tidak melebihi 120 hari dari tarikh berkenaan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir