KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menggabungkan pengalaman sedia ada dengan muka baharu dalam pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara itu antara pendekatan yang akan dipertimbangkan dalam menentukan senarai calon GPS.
“Apa yang saya boleh ceritakan di sini, ialah ia akan menjadi gabungan pengalaman dan golongan muda,” katanya ketika ditemui selepas sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat
Bagaimanapun, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, keputusan berhubung senarai calon akan dibuat selepas mesyuarat diadakan, manakala jumlah muka baharu yang bakal diketengahkan masih belum dimuktamadkan.
Mengulas kemungkinan calon sedia ada tidak dikekalkan, jelasnya, terdapat individu yang mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan bukannya digugurkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa GPS akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara berkaitan persiapan parti menghadapi PRN akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir