RM100,000 Diperuntuk Pasang 10 Pili Bomba Baharu di Bukit Assek
SIBU: Sebanyak RM100,000 diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pemasangan 10 pili bomba baharu di lokasi strategik sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, projek itu penting bagi menangani kekurangan infrastruktur keselamatan kebakaran serta melindungi nyawa dan harta benda penduduk setempat.
Menurut beliau, antara lokasi yang dikenal pasti untuk pemasangan pili bomba baharu ialah Jalan Tong Sang, Lorong Bukit Assek, Jalan Bukit Assek, Lorong Lai Chee dan Jalan Tiong Hua.
“Jumlah projek sebanyak RM100,000 ini khusus untuk membina pili bomba baharu di 10 lokasi penting di seluruh Bukit Assek,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke tapak projek pada Jumaat.
Beliau berkata, pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan perancangan teknikal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Zon Sibu bagi menangani masalah infrastruktur yang sekian lama dihadapi kawasan itu.
Katanya, keadaan tanah gambut menjadi cabaran utama dalam penyelenggaraan pili bomba kerana pergerakan dan pemendapan tanah boleh menyebabkan paip bawah tanah terputus serta merosakkan struktur pili bomba.
“Oleh kerana keadaan tanah gambut, paip sangat mudah terputus dan pili bomba rosak apabila berlaku pemendapan tanah. Ini menjadikan kerja penyelenggaraan biasa sangat mencabar bagi pihak bomba,” katanya.
Bagi memastikan kemudahan itu dapat berfungsi dengan baik dalam jangka panjang, Chieng menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya bekerjasama menyokong program komuniti seperti Rakan Pili Bomba.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu bermula pada 16 Oktober dan dijadualkan siap dalam tempoh dua bulan.
Beliau turut mengingatkan agensi berkaitan dan kontraktor supaya mengutamakan pengurusan trafik serta menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi di tapak kerja, termasuk pada waktu malam, bagi mengurangkan risiko bahaya dan kesulitan kepada orang awam.
“Kami mahu membina keyakinan orang ramai terhadap infrastruktur keselamatan kebakaran tempatan, memastikan pili bomba ini diperiksa secara berkala setiap tahun dan diselenggara dengan tekanan air yang mencukupi,” katanya.
Hadir sama, Penolong Penguasa Bomba Zon Sibu, Jerry Jelani Bandang dan Jurutera JBALB, Amelia Tay. -EDISI UKAS