Keluasan Rumah PPRS Dinaikkan kepada 680 Kaki Persegi
ASAJAYA: Keluasan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dinaikkan daripada sekitar 660 kepada 680 kaki persegi bagi menyediakan ruang kediaman lebih luas dan selesa kepada golongan kurang berkemampuan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penambahbaikan spesifikasi itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh program bantuan perumahan demi meningkatkan kesejahteraan penerima, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) dan Projek Mesra Rakyat bagi kawasan Asajaya, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, selain peningkatan keluasan, reka bentuk rumah turut ditambah baik dengan susun atur ruang yang lebih sesuai bagi menjaga keselesaan dan privasi penghuni.
Dari segi kos, Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata kadar pembinaan rumah baharu di bawah PPRS turut dinaikkan daripada lingkungan RM78,000 hingga RM79,000 kepada RM85,000 seunit.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan harga bahan binaan dan kos operasi memberi cabaran kepada kontraktor untuk melaksanakan projek berdasarkan peruntukan yang ditetapkan.
Beliau berkata, bantuan perumahan bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah bertujuan membantu penerima membina kehidupan lebih sejahtera serta memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi keluarga.
Menurut Datuk Rubiah, perubahan nama daripada Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada PPRS turut mencerminkan pendekatan yang lebih berorientasikan kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, beliau menegaskan kepentingan pengesahan status tanah dan kesediaan tapak sebelum projek dilaksanakan bagi mengelakkan kelewatan atau masalah selepas rumah siap dibina.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta agensi pelaksana menilai keperluan sebenar rumah yang memerlukan kerja baik pulih supaya bantuan menepati skop dan spesifikasi yang diluluskan.
Katanya, rumah yang terlalu uzur perlu dinilai dengan teliti bagi menentukan sama ada kerja baik pulih masih sesuai atau pembinaan baharu lebih diperlukan, tertakluk kepada syarat program dan peruntukan yang tersedia.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Wakil Residen Bahagian Samarahan, Ahmad Yusuf Abdul Razak. -EDISI UKAS