Dua Projek Masjid Di Asajaya Berjalan Mengikut Jadual
ASAJAYA: Projek naik taraf Masjid Assyolihin di Kampung Sambir dan pembinaan baharu Masjid Kampung Tambirat terus dipantau bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua projek berjalan mengikut jadual serta memenuhi spesifikasi dan standard kualiti ditetapkan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, mengadakan lawatan tapak ke kedua-dua projek pada Jumaat bagi meninjau kemajuan kerja pembinaan dan meneliti perkara teknikal yang perlu diberi perhatian.
Berdasarkan laporan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek naik taraf Masjid Assyolihin bernilai RM844,848.88 mencatatkan kemajuan fizikal dan kewangan sebanyak 40 peratus, selaras dengan jadual pelaksanaan.
Projek yang bermula pada 23 April 2026 itu dijadualkan siap pada 22 April 2027, dengan skop kerja merangkumi pembinaan struktur, ruang limpah baharu dan kawasan serbaguna.
Sementara itu, projek pembinaan baharu Masjid Kampung Tambirat bernilai RM1.92 juta mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak lapan peratus, juga selaras dengan jadual pelaksanaan semasa.
Projek yang bermula pada 19 Ogos 2026 itu melibatkan pembinaan sebuah blok masjid baharu dan kini dijadualkan siap pada 28 Mac 2028, selepas lanjutan masa selama 40 hari diberikan berikutan isu kelulusan kerja perobohan struktur masjid sedia ada.
Menurut laporan pemantauan, kelulusan perobohan berkenaan diperoleh pada 23 September 2026 selepas permohonan berkaitan belum dikemukakan ketika tarikh milik tapak.
Pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan kerja pembinaan Masjid Kampung Tambirat berjalan lancar selepas penyelesaian isu berkenaan, termasuk perkembangan kemajuan fizikal dan kewangan projek.
Kedua-dua projek itu penting dalam menyediakan kemudahan ibadah yang lebih baik kepada masyarakat setempat, sekali gus memastikan keperluan ruang solat dan kemudahan sokongan dapat dipenuhi.
Turut serta, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Wakil Residen Bahagian Samarahan, Ahmad Yusuf Abdul Razak. -EDISI UKAS