Pendedahan Undang-Undang Syariah Perkukuh Kesedaran Pelajar
LAWAS: Pendedahan mengenai undang-undang syariah kepada pelajar sekolah menengah diperkukuh menerusi Program Bicara Pendakwaan Syariah bagi meningkatkan kefahaman terhadap perundangan, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab sebagai warganegara.
Program anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Sarawak (JPSS) itu berlangsung di Dewan Aspirasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok pada Khamis, dengan memberi tumpuan kepada kepentingan memahami undang-undang serta membentuk nilai integriti dan tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
Selain pendedahan berkaitan perundangan syariah, program itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Lawas yang berkongsi maklumat berkaitan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan kesihatan.
Penglibatan pelbagai agensi berkenaan membolehkan pelajar memperoleh pemahaman lebih luas mengenai aspek perundangan dan kesejahteraan diri, sekali gus membantu mereka membuat keputusan secara lebih bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Pendedahan awal seumpama itu turut menyokong usaha institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat dalam menerapkan nilai murni serta membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.
Hadir sama Timbalan Ketua Pendakwa Syarie JPSS, Anisah Amit; Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Lawas, Ikram Jamil; dan Pengetua SMK Merapok, Rohani Abu Bakar. -EDISI UKAS