Kerajaan Sarawak Luluskan RM2.1 Juta Bina Dewan Serbaguna SMK Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan khas RM2.1 juta bagi pembinaan dewan serbaguna di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu untuk menambah baik kemudahan bagi pelaksanaan aktiviti dan program sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kemudahan itu dirancang sebagai ruang berbumbung berskala besar bagi menampung perhimpunan, aktiviti sekolah dan pelbagai program tanpa terlalu bergantung kepada keadaan cuaca.
“Saya amat gembira kerana cadangan ini telah mendapat kelulusan peruntukan khas sebanyak RM2.1 juta daripada Kerajaan Sarawak.”
“Jadi sekarang, apa yang kita tunggu ialah proses untuk merealisasikan projek ini langkah demi langkah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Restu Ilmu dan Penyerahan Beg Sekolah di SMK Bintulu, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pembinaan dewan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan menambah baik prasarana sekolah sedia ada bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada pelajar dan guru.
Beliau berkata, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan di sekolah berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penyediaan kawasan parkir, laluan berbumbung, kemudahan sukan serta kerja mengecat semula bangunan sekolah.
Katanya, kerjasama antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkaitan penting bagi memastikan kemudahan pendidikan terus ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Pada majlis sama, Johnny turut meneruskan program penyerahan beg sekolah bagi menyokong keperluan pelajar dan menggalakkan mereka terus berusaha mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang menyediakan pembiayaan yuran pengajian kepada pelajar Sarawak yang layak dan mengikuti program ditetapkan di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS