SKS Sri Aman Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat Luar Bandar
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman menjadi wadah Kerajaan Sarawak mendekati rakyat secara langsung bagi memastikan akses kepada perkhidmatan, bantuan dan peluang pembangunan turut dinikmati komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pendekatan turun padang itu penting khususnya bagi penduduk di kawasan Batang Air dan Lubok Antu yang berdepan kekangan jarak, pengangkutan serta capaian internet.
“Program ini bukan sekadar sebuah program kemasyarakatan, tetapi juga satu platform untuk mendengar suara rakyat, memahami keperluan mereka dan memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika ditemu bual dalam program Juh Randau UKAS, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, program itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk serta mendapatkan pendedahan lebih luas bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, sebanyak 52 agensi terlibat dengan 170 kaunter perkhidmatan disediakan setakat ini, meliputi perkhidmatan kerajaan negeri dan Persekutuan, GLC serta NGO.
Katanya, tahap persediaan program kini melebihi 90 peratus, tinggal lebih kurang satu minggu lagi untuk memuktamadkan perkara-perkara penting.
Sepanjang tiga hari penganjuran dari 30 Oktober hingga 1 November di Kompleks Sukan Sri Aman, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, mengunjungi pameran Sarawak Pavilion serta meneroka produk usahawan tempatan menerusi gerai jualan dan keusahawanan.
SKS Sri Aman turut menampilkan Malam Budaya Sarawak pada 30 Oktober dengan persembahan artis tempatan, manakala Konsert Rakyat pada 31 Oktober bakal dimeriahkan barisan artis popular termasuk Baby Shima, Melissa Francis dan Bob Yusof dan lain-lain.
Pelbagai aktiviti turut disediakan untuk pengunjung, termasuk sukaneka, petanque, wall climbing, Unity Walk dan e-sukan, selain e-peraduan yang menawarkan 102 hadiah, dengan sebuah kereta Perodua Bezza 1.0G automatik sebagai hadiah utama.
Majlis perasmian program itu dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 31 Oktober ini. -EDISI UKAS