AI Bantu Pembelajaran, Bukan Jalan Pintas Kejayaan Murid
MIRI: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran perlu memperkukuh pemikiran kritis dan kreativiti murid, bukannya menjadi jalan pintas untuk memperoleh kejayaan akademik.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, murid perlu menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab agar teknologi itu menjadi alat yang membantu proses pembelajaran, bukannya menggantikan usaha memahami sesuatu perkara secara mendalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gemilang Ilmu Tingkatan 5 Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Adam berkata persediaan menghadapi masa depan tidak seharusnya tertumpu pada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu turut merangkumi kesejahteraan mental, pembentukan sahsiah dan keupayaan menghadapi cabaran kehidupan.
Beliau dalam pada itu turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan inklusif, dengan kerjasama guru, ibu bapa serta masyarakat diperlukan bagi menangani isu buli, gangguan siber dan penyalahgunaan media sosial.
Mengulas persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menasihati calon Tingkatan 5 supaya merancang pembelajaran secara teratur serta meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). -EDISI UKAS