Pendekatan Berasaskan Data Jadi Asas Perancangan Pembangunan Pelagus
KUCHING: Perancangan pembangunan inklusif berasaskan data menjadi antara pendekatan yang diketengahkan oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Cerisologo Sabut dalam memenuhi keperluan sosioekonomi, infrastruktur dan kemudahan utiliti masyarakat setempat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, kementerian, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bagi mengenal pasti keperluan serta potensi pembangunan kawasan berkenaan.
“Kalau kita nak buat perancangan yang inklusif, kita mesti ada data. Jadi, saya akan bekerjasama sepenuhnya dan berkolaborasi dengan semua agensi kerajaan serta kementerian.
“Saya percaya ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan yang diperoleh akan membantu saya dalam membangunkan Pelagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Cerisologo menambah, pengalaman selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk enam tahun setengah sebagai Pegawai Daerah Kapit serta kira-kira setahun berkhidmat di Pejabat Daerah Kanowit, memberikannya pendedahan dalam memahami keperluan dan cabaran pembangunan masyarakat setempat.
Menurutnya, pembangunan Pelagus memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, sektor swasta, komuniti dan pemimpin setempat bagi memastikan setiap perancangan memberikan manfaat kepada penduduk.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk memanfaatkan dasar kerajaan sedia ada sebagai asas perancangan pembangunan berdasarkan keperluan masyarakat serta potensi sektor yang dikenal pasti sekiranya diberikan mandat oleh rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh:Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini