Kesinambungan Pembangunan Jadi Tumpuan Di Simunjan
KUCHING: Kesinambungan pembangunan dan pelaksanaan dasar kerajaan menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, Yussuf Chik.
Beliau menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab dalam memastikan agenda pembangunan di kawasan berkenaan dapat diteruskan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan tertinggi GPS yang dipimpin oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Saya akan meneruskan apa yang melibatkan kelangsungan polisi parti dan kita akan bawa pembangunan ke kawasan Simunjan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Yussuf, 45, merupakan seorang daripada 11 calon muka baharu yang ditampilkan GPS pada PRN Sarawak Ke-13.
Berasal dari Kampung Sageng, Hilir Simunjan, beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Sarawak. -EDISI UKAS