Pembangunan Seimbang, Sumber Ekonomi Rakyat Jadi Perhatian Di Kabong
KUCHING: Pembangunan berimpak tinggi yang mengambil kira kelangsungan sumber pendapatan masyarakat setempat menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh.
Beliau berkata, pembangunan di Kabong perlu dirancang secara seimbang tanpa menjejaskan sumber ekonomi masyarakat yang kebanyakannya bergantung kepada sektor pertanian, perikanan dan kegiatan ekonomi luar bandar.
Menurutnya, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, beliau akan meneliti semula senarai projek pembangunan yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menentukan keutamaan berdasarkan impaknya kepada masyarakat.
“Berdasarkan apa yang kita lihat pada masa ini, Datuk Mohamad Chee Kadir mempunyai senarai lebih daripada 100 projek yang telah disenaraikan.
“Insya-Allah, saya akan meneliti semula senarai tersebut dan melihat projek-projek yang mempunyai impak tinggi untuk kita beri keutamaan.
“Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, saya juga telah dijemput oleh Dao Mohamad Chee Kadir untuk bersama-sama beliau dalam sesi libat urus dengan perunding, pihak berkuasa dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Nor-E-Fadzwie turut menghargai bimbingan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, khususnya dalam memahami keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Selain pembangunan fizikal, beliau turut memberi perhatian kepada golongan belia berusia di bawah 40 tahun yang menurutnya membentuk lebih 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan berkenaan.
Katanya, perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) telah mempengaruhi corak pemikiran, idea serta aspirasi generasi muda yang perlu diambil kira dalam perancangan pembangunan setempat.
“Sebab itu, saya melihat perkara paling penting di Kabong ialah apabila kita memperoleh mandat nanti, kita akan duduk bersama semua pihak, termasuk parti, ketua-ketua masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Insya-Allah, semuanya akan dilaksanakan melalui pendekatan yang mesra,” jelas beliau.
Nor-E-Fadzwie yang berasal dari Kabong sebelum ini berkhidmat di Borneo Development Corporation (BDC) dan memegang jawatan Ketua Penerangan PBB Cawangan Kabong.
Beliau mula aktif dalam kegiatan parti di Kabong sejak 2020 selepas sebelum itu terlibat dalam PBB di kawasan Kuching. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini