Pembinaan Kampus TAHOTECH Di Trombol Pacu Pembangunan Matang
KUCHING: Pembinaan kampus Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) di Kampung Trombol, Telaga Air dengan kos melebihi RM400 juta bakal menjadi pemangkin kepada perubahan kawasan Matang dan kampung-kampung sekitarnya menerusi pembangunan infrastruktur serta kemudahan moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan institusi pendidikan tinggi itu merupakan antara perancangan untuk memperluas pembangunan di kawasan berkenaan, sekali gus membuka peluang kepada pertumbuhan kawasan sekitarnya.
“Insya-Allah universiti akan dibangunkan di Kampung Trombol, di tepi laut. Kita bina universiti penuh dengan belanja lebih RM400 juta.
“Macam di Bangi, dibangunkan UKM, maka Bangi berubah menjadi satu tempat yang maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kuching, di Metrocity, Matang, pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata berkata, pembangunan universiti berkenaan dijangka turut memberi kesan kepada kampung-kampung berhampiran yang berpotensi berkembang menjadi kawasan yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur lebih moden.
Menurutnya, pembangunan TAHOTECH merupakan antara usaha strategik kerajaan negeri yang akan mengubah wajah kawasan Matang, selari dengan pembangunan pesat dinikmati kawasan lain dalam bahagian Kuching.
Beliau turut menyentuh perkembangan kawasan Lundu yang semakin menjadi tumpuan pelancongan dengan pertambahan prasarana hotel.
Selain itu ujarnya, Bau juga terus berkembang hasil pembangunan muzium yang menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung di kawasan itu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Shahril Haqim & George S.Embie