244 Penduduk Kampung Mongkos Terima Sumbangan Tangki Air Kerajaan Sarawak
TEBEDU: Seramai 244 penerima di Kampung Mongkos menerima sumbangan tangki air daripada Kerajaan Sarawak bagi membantu memenuhi keperluan bekalan air untuk kegunaan harian, khususnya ketika musim kemarau dan berlakunya gangguan bekalan air terawat.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, dalam satu majlis ringkas di Kampung Mongkos pada Jumaat.
Inisiatif berkenaan bertujuan membantu penduduk setempat menyediakan kemudahan penyimpanan air sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan, termasuk ketika musim perayaan seperti Hari Gawai yang menyaksikan peningkatan keperluan penggunaan air.
Dalam majlis sama, beliau turut meminta kerjasama Ketua Kampung Mongkos dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memantau pemasangan semua tangki berkenaan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima.
Bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, melalui penyediaan kemudahan asas yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat. -EDISI UKAS