MPP Naik Taraf Jalan Ma Onn, Jalan Sungai Tengah 5 Demi Keselamatan Penduduk
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) meneruskan usaha menambah baik infrastruktur jalan raya menerusi projek menaik taraf Jalan Ma Onn dan Jalan Sungai Tengah 5 bagi meningkatkan keselamatan pengguna serta keselesaan penduduk setempat.
Lawatan ke tapak projek telah dilaksanakan oleh Pengerusi MPP, Tan Kai bersama-sama Ahli Majlis Residen, pegawai MPP dan wakil masyarakat setempat, pada Jumaat bagi mendapatkan taklimat daripada kontraktor mengenai kerja-kerja yang telah dilaksanakan
Tan Kai berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam menangani keperluan masyarakat, khususnya berkaitan keadaan jalan raya dan risiko banjir kilat.
Projek menaik taraf Jalan Ma Onn melibatkan kerja-kerja pelebaran dan peninggian jalan bagi membantu mengurangkan risiko banjir kilat, susulan maklum balas serta kebimbangan penduduk setempat terhadap keadaan jalan berkenaan.
Kerja-kerja projek itu bermula pada 12 Oktober 2026 dan dijangka mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca serta situasi di tapak pembinaan.
Sementara itu, projek menaik taraf Jalan Sungai Tengah 5 yang dibiayai melalui peruntukan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof, telah siap pada 11 September 2026.
Selain itu, beliau turut menyatakan kepuasan terhadap penambahbaikan yang dilaksanakan, khususnya dari segi keselamatan jalan raya dan kemudahan akses kepada masyarakat setempat.
MPP merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Fadillah, wakil rakyat di kawasan pentadbirannya serta agensi kerajaan berkaitan atas sokongan dan peruntukan yang disalurkan bagi merealisasikan projek penambahbaikan infrastruktur berkenaan. -EDISI UKAS