Kos Pengajian Bukan Lagi Beban Sama, Ibu Bapa Hargai FTES
KAPIT: Kos pengajian tinggi yang sebelum ini menjadi kebimbangan keluarga berpendapatan terhad kini lebih mampu ditangani menerusi inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke universiti.
Bagi Ann Flofreina Kasin, yang mempunyai tiga orang anak dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah, pembiayaan penuh yuran pengajian menerusi inisiatif Kerajaan Sarawak itu mengurangkan kebimbangannya terhadap kemampuan keluarga menanggung kos pendidikan anak.
Katanya, bantuan berkenaan memberi harapan agar anaknya dapat meneruskan pengajian dengan baik, menamatkan pengajian dengan cemerlang dan memperoleh pekerjaan yang dapat menjamin masa depan lebih baik.
Ann berharap anaknya memanfaatkan peluang yang diberikan dengan bersungguh-sungguh, memandangkan pendidikan tinggi merupakan langkah penting dalam membina kehidupan yang lebih baik.
Sementara itu, Marvence Gerahaman berkata, perancangan untuk membiayai pengajian tinggi anak sebelum pelaksanaan FTES merupakan cabaran besar bagi keluarga yang mempunyai pendapatan terhad.
Menurutnya, tanpa bantuan sedemikian, peluang anaknya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi mungkin sukar direalisasikan berikutan kekangan kewangan keluarga.
Beliau berkata, FTES amat bermakna khususnya kepada ibu bapa di luar bandar dan golongan kurang berkemampuan kerana membantu membuka peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak yang berdepan kekangan kewangan.
Marvence berharap inisiatif itu dapat diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pelajar menikmati manfaat sama, selain berharap anaknya belajar bersungguh-sungguh, memperoleh keputusan terbaik dan seterusnya mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.
Kedua-dua ibu bapa itu merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan FTES yang membantu mengurangkan kebimbangan mengenai kos pengajian tinggi serta memberi peluang kepada anak-anak mereka mengejar cita-cita melalui pendidikan. -EDISI UKAS