Pemilihan Calon GPS Diserah Kepada Kepimpinan Parti
KUCHING: Keputusan berhubung pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi pilihan raya akan datang diserahkan kepada kepimpinan parti, termasuk menentukan calon baharu dan penyandang yang akan dikekalkan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau bersedia untuk berundur selepas berkhidmat selama 25 tahun atau lima penggal, namun keputusan itu turut bergantung kepada pendirian parti dan pandangan penduduk di kawasan yang diwakilinya.
“Bagi pihak saya, saya bersedia untuk berundur. Namun, sekiranya parti dan penduduk di kawasan yang saya wakili masih merasakan khidmat saya diperlukan, saya tidak boleh menolak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum majlis pembukaan Regata Perahu Naga Antarabangsa 2026, di Tebingan Kuching, pada Jumaat.
Beliau berkata, keputusan mengenai pemilihan calon baharu atau pengekalan penyandang merupakan hak Premier Sarawak merangkap Presiden GPS dan perlu diserahkan kepada kepimpinan parti untuk ditentukan.
Menurutnya, pengumuman mengenai calon yang akan bertanding dijangka dibuat menjelang hari penamaan calon.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak I, Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. -EDISI UKAS