MASOC 2027 Perluas Jelajah Promosi Ke Luar Bandar, Pedalaman
KUALA LUMPUR: Kempen mempromosikan Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 bakal diperluas ke Zon Timur, Utara dan Selatan bagi memastikan masyarakat di luar bandar serta pedalaman turut mendapat pendedahan secara langsung menjelang penganjuran temasya sukan serantau itu pada September 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, jelajah berkenaan bukan sekadar memperkenalkan temasya, tetapi turut membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk merasai sendiri semangat Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.
“Kita mahu semangat 2027 dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya di bandar utama, tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Jelajah mengikut zon ini memberi peluang kepada MASOC untuk mendekati komuniti secara langsung, memperluas kesedaran dan membina sokongan rakyat terhadap temasya yang bakal kita anjurkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, jelajah tersebut dimulakan di Kuala Lumpur menerusi perarakan trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya ke lima lokasi strategik, iaitu Pasar Seni (Central Market), The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
Pelbagai aktivasi turut diadakan di lokasi terpilih, termasuk sesi ramah mesra bersama atlet negara, penampilan maskot rasmi, persembahan pancaragam dan pasukan sorak, permainan interaktif bertemakan sukan serta pengagihan cenderamata bagi menggalakkan penyertaan orang awam.
Menurut Datuk Abdul Rashid, MASOC 2027 sebelum ini turut memperkenalkan temasya berkenaan menerusi penyertaan dalam program KIBAR, MADANI Kita dan Le Tour de Langkawi.
“Kita telah memulakan usaha mendekati masyarakat menerusi reruai MASOC dalam program KIBAR, MADANI Kita dan Le Tour de Langkawi.
“Jelajah mengikut zon ini akan meneruskan momentum berkenaan supaya mesej temasya 2027 dapat disampaikan dengan lebih meluas, termasuk kepada masyarakat di pelosok negara,” katanya.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 dari 18 hingga 29 September 2027, dengan penganjuran melibatkan empat kluster utama, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Berteraskan aspirasi ‘Raikan Perpaduan’, penganjuran itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada kelancaran pertandingan dan pencapaian atlet, malah turut mengangkat kepentingan penglibatan masyarakat serta pembentukan legasi sukan yang mampu mengukuhkan perpaduan serantau. -EDISI UKAS