Usahawan Agro Makanan Sarawak Digesa Perkukuh Daya Saing, Tembusi Pasaran Lebih Luas
KUCHING: Usahawan agro makanan Sarawak perlu meningkatkan kualiti produk, memperkukuh penjenamaan dan memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing produk tempatan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usahawan juga perlu bersedia meneroka peluang baharu dan memperkukuh kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar.
“Produk yang baik perlu disokong dengan pengurusan perniagaan yang cekap, strategi pemasaran yang berkesan dan kesiap siagaan untuk memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Daha ketika merasmikan Showcase Usahawan Tani 2026 ShoUT 2.0 di Pusat Beli Belah Vivacity, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan usahawan Sarawak mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM1.6 juta pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuktikan produk tempatan mempunyai kualiti, keunikan dan potensi pasaran yang tinggi.
Menurutnya, pembangunan usahawan yang berdaya saing serta penghasilan produk bernilai tambah penting dalam meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh jaminan bekalan makanan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap ShoUT pada masa hadapan dapat diperluas sebagai platform perdagangan yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pembeli, pengedar dan rakan perniagaan antarabangsa, termasuk melalui sesi padanan perniagaan serta penerokaan peluang eksport.
ShoUT 2.0 anjuran Jabatan Pertanian Sarawak melalui Bahagian Industri Asas Tani berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, dengan sasaran penyertaan 26 usahawan, nilai jualan langsung RM40,000 dan kehadiran 12,000 pengunjung.
Bertemakan ‘Taste, Trade, Transform’, program itu menyediakan platform kepada usahawan untuk mempromosikan produk agromakanan tempatan, meningkatkan jualan serta memperluas jaringan perniagaan.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pertanian Sarawak, Radziah Jack, serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Industri Asas Tani, Rajmah Muzli Razili. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S. Embie