Sumber Air Jadi Aset Strategik Sarawak Bangunkan Industri Teknologi Tinggi
SIBU: Kekayaan sumber air sungai di Sarawak berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan industri teknologi tinggi, sekali gus membuka peluang kepada negeri ini memperkukuh kedudukannya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sumber air yang diurus secara mampan bukan sahaja penting untuk kegunaan harian dan penjanaan tenaga hidroelektrik, malah mampu memenuhi keperluan industri masa depan yang bergantung kepada bekalan tenaga bersih serta sistem penyejukan.
Menurut beliau, kelebihan sumber semula jadi itu perlu dimanfaatkan melalui pembangunan teknologi dan kepakaran tempatan supaya Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya turut berperanan sebagai pengeluar teknologi bernilai tinggi.
“Kita bersihkan dan rawat air sungai untuk tenaga hijau termasuk untuk sistem penyejukan bagi teknologi tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menjelaskan, pengurusan sumber air secara berkesan, termasuk rawatan dan pemuliharaan sungai, merupakan antara faktor penting dalam menyediakan ekosistem yang menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
Katanya, sungai di Sarawak juga memainkan peranan utama dalam penjanaan tenaga hidroelektrik, termasuk menerusi Empangan Bakun dan Murum.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia perlu meningkatkan keupayaan mencipta dan membangunkan teknologi sendiri bagi menghasilkan nilai ekonomi yang lebih tinggi serta keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
“Malaysia berada di kedudukan tengah-tengah. Sampai bila?
“Memandangkan Sarawak mempunyai banyak sumber air, kita bekerjasama dan menghasilkan semikonduktor untuk dunia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak merupakan antara langkah strategik kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyempurnakan peluncuran Garis Panduan Pembangunan Dalam Koridor Sungai serta penyerahan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa, Betong.
Turut disempurnakan ialah penyerahan Denai Sungai Kebangsaan Sungai Pesang di Kampung Pesang, Serian dan Denai Sungai Kebangsaan Sungai Serian di Kampung Stabut, Serian.
Selain itu, majlis menyaksikan penyerahan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Sungai Samarahan, Sungai Sibuti dan Sungai Saribas serta penyampaian Anugerah Peserta Terbaik Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) dan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.-EDISI UKAS