Dato Sri Nancy Sambut Baik Muka Baharu, Penambahan Calon Wanita
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menyambut baik kemungkinan kemunculan muka baharu termasuk penambahan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau berkata, keputusan mengenai calon yang akan diketengahkan adalah hak parti masing-masing dan pihaknya menghormati setiap keputusan yang dibuat.
“Ada muka baharu dan kita mengalu-alukan apa yang diputuskan oleh parti-parti masing-masing. Kita menghormati siapa-siapa sahaja yang dipilih,” katanya ketuka ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pelancaran WEAVE 2026 bertemakan ‘From Heritage Hands to Global Opportunities’, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Nancy, terdapat kemungkinan penambahan calon wanita, namun perkara itu masih belum dapat dipastikan sehingga proses penamaan calon kerana perubahan boleh berlaku sehingga saat akhir.
“Kalau calon wanita, saya dengar ada juga penambahan calon wanita, tetapi kita tidak tahu lagi. Dalam politik ini, kita tidak akan tahu sehingga dekat bahagian penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting ialah Sarawak mempunyai calon-calon berwibawa yang mampu membawa negeri itu ke peringkat lebih tinggi serta seiring dengan agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, tumpuan utama dalam menghadapi PRN adalah meneruskan usaha pembangunan dan meningkatkan pencapaian yang telah dilaksanakan di Sarawak. -EDISI UKAS