PERANTIS Buka Peluang Wanita, Belia Sarawak Ke Pasaran Antarabangsa
KUCHING: Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) terus memperkasa wanita dan belia Sarawak dengan membuka peluang kepada mereka mengembangkan kemahiran kreatif sebagai sumber pendapatan, termasuk menerusi penghasilan produk kraftangan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sebanyak 14 program PERANTIS telah dilaksanakan di Sarawak menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), dengan inisiatif berkenaan menghasilkan pelbagai bakat dan peluang baharu dalam kalangan peserta.
Menurut beliau, kejayaan ‘WEAVE 2026 – Women and Youth Empowerment Through Crafts and Performing Arts’ membuktikan bahawa kemahiran, kreativiti dan identiti tempatan mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
“Salah satu hasil yang membanggakan ialah penghasilan ‘Pusak Tembun’, kraftangan amigurumi yang diilhamkan daripada ikon kucing Kuching. Bermula daripada latihan kemahiran, kini produk ini telah berjaya mencapai pasaran antarabangsa melalui pameran di Filipina, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Pelancaran WEAVE 2026 bertemakan ‘From Heritage Hands to Global Opportunities’, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Nancy menambah, selain kraftangan, peserta belia turut membentuk kelab seni persembahan Nyalang Warriors yang kini diberi peluang membuat persembahan di universiti dan acara komuniti, sekali gus membina keyakinan diri, kemahiran kerja berpasukan dan kepimpinan.
“Langkah seterusnya ialah memastikan momentum ini berterusan menerusi bimbingan, pembangunan produk, penjenamaan, promosi digital, literasi kewangan dan akses pasaran supaya peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran, tetapi mempunyai laluan praktikal untuk mengembangkan peluang dan mengukuhkan pendapatan,” katanya.
Mengulas perkembangan PERANTIS secara keseluruhan, beliau berkata program itu dijangka mencapai sasaran 10,000 peserta dalam tempoh lebih tiga tahun, selepas melibatkan 1,247 peserta pada 2024, lebih 4,000 peserta pada 2025 dan 3,883 peserta bagi tahun ini.
Beliau berkata, bagi 2026, program berkenaan menerima peruntukan RM4 juta dan melibatkan 80 tokoh wanita sebagai mentor, manakala sebanyak RM5 juta diperuntukkan pada 2025 dengan penglibatan 100 tokoh wanita.
Turut Hadir, Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Negara Dato Dr Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Pengarah LPPKN Negeri Sarawak Jimbau Munggat serta Tokoh PERANTIS 2026 Nur Rahmah Ranong Abdullah. - EDISI UKAS