KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menyediakan khidmat kaunseling kepada kanak-kanak terlibat serta keluarganya sekiranya bantuan berkenaan diperlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, JKM tidak mahu tergesa-gesa menawarkan perkhidmatan berkenaan memandangkan perkara tersebut masih dalam siasatan polis dan keluarga terbabit memerlukan ruang untuk bertenang.
“Kita sudah bersedia sekiranya diperlukan namun kita tidak mahu terburu-buru mendapatkan perkhidmatan daripada kita kerana mungkin masih dalam siasatan polis. Jadi, kita perlu memberi mereka ruang untuk bertenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program WEAVE 2026, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, JKM memandang serius perkara berkenaan dan bersedia memberikan bantuan sekiranya diperlukan.
Menurut Dato Sri Nancy, kanak-kanak berkenaan tidak akan ditempatkan di institusi JKM sekiranya masih mempunyai keluarga, kecuali terdapat sebab-sebab tertentu yang memerlukan tindakan lanjut melalui proses mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata JKM turut bersedia membantu guru dan rakan sekelas yang mungkin terkesan sekiranya diperlukan, dengan mengambil kira peranan kaunselor di bawah institusi pendidikan.
“Kita menghormati pihak pendidikan yang mempunyai kaunselor sendiri di mana kadang-kadang kita bekerjasama, tetapi kita memberi peluang kepada pihak yang lebih berautoriti.
“Kalau mereka memerlukan kami juga untuk membantu, insya-Allah kami bantu,” katanya lagi. -EDISI UKAS