RM7.4 Bilion Diperuntuk Bagi Laksana 46 Projek Berkaitan Air Di Sarawak
SIBU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM7.4 bilion bagi melaksanakan 46 projek berkaitan air di Sarawak di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peruntukan besar itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.8 billion adalah projek-projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seperti tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bertemakan ‘Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita’ di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian sambutan berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Mengulas lanjut mengenai pengurusan perancangan jangka panjang, Datuk Amar Fadillah menjelaskan PETRA turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang.
Jelas beliau, Batang Rajang merupakan salah satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan kajian terperinci tersebut.
"Kajian IRBM Batang Rajang ini dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2027.
"Hasil kajian ini akan menyediakan pelan tindakan komprehensif bagi membantu Kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat agar memanfaatkan kemudahan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang telah dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Sarawak sebagai ruang rekreasi, pendidikan alam sekitar dan ekopelancongan.
Pada majlis yang sama, pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 turut disampaikan kepada komuniti tempatan yang menunjukkan komitmen cemerlang dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sungai di peringkat akar umbi.
Antara pengisian program lain yang turut memeriahkan sambutan termasuklah Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) di sekitar Bahagian Sibu dan Kapit, Pertandingan Memancing di Batang Rajang, Pocket Talk, serta Pameran dan Jualan Rahmah. -EDISI UKAS