38 Ekor Anjing Terima Vaksinasi Anti-Rabies di Kapit
KAPIT: Sejumlah 38 ekor anjing menerima vaksinasi anti-rabies menerusi Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing 2026 anjuran Majlis Daerah Kapit dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kapit, pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13 ekor menerima dos pertama, manakala 25 ekor lagi menerima dos penggalak dalam program yang berlangsung di ruang legar Pejabat Majlis Daerah Kapit dari 9 pagi hingga 1 petang.
Program itu turut menyaksikan pemasangan mikrocip terhadap 31 ekor anjing bagi memudahkan proses pengenalpastian dan pengurusan haiwan peliharaan.
Secara keseluruhan, seramai 28 pemilik anjing mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, termasuk vaksinasi anti-rabies percuma, pemasangan mikrocip, perlesenan anjing serta khidmat nasihat berkaitan penjagaan kesihatan haiwan peliharaan.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan dan kawalan rabies, selain memudahkan pemilik mendapatkan perkhidmatan berkaitan di satu lokasi.
Bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksinasi, anjing yang menyertai program perlu berada dalam keadaan sihat, berumur sekurang-kurangnya tiga bulan serta tidak bunting atau menyusukan anak.
Program itu dikendalikan oleh petugas DVS Kapit yang terdiri daripada AVO Ricky Jameson Jali, AVO Michelle Bunga Bong, SVA Louis Minggu, VA Eli Genta, VA Abg. Fadhilah Abg. Bunsu dan PT Craig Shapon David.-EDISI UKAS