SNF 2026 Perkasa Warisan Melanau-Jawa, Tarik Pelancong Ke Mukah
MUKAH: Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 menjadi ruang untuk mengetengahkan keunikan warisan masyarakat Melanau dan Jawa, sekali gus memperluas peluang promosi kebudayaan serta pelancongan Sarawak kepada khalayak lebih luas.
Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf berkata, festival berkenaan berperanan menghubungkan masyarakat melalui perkongsian tradisi, seni, makanan dan amalan kebudayaan.
Menurutnya, kepelbagaian warisan yang diketengahkan menerusi penganjuran festival itu mampu memupuk persefahaman serta mengeratkan persahabatan antara masyarakat Malaysia, khususnya di Mukah, dengan Indonesia.
“Penganjuran festival ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara masyarakat, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam mengetengahkan keunikan warisan budaya serta tarikan pelancongan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing pada SNF 2026 di Petanak Beach Chalet & Café, di sini, pada Sabtu.
Rubiah berkata, kepelbagaian budaya, tradisi unik, keindahan alam semula jadi dan keramahan penduduk merupakan antara aset berharga yang menjadikan Sarawak destinasi menarik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Katanya, festival kebudayaan bukan sahaja menyediakan ruang untuk masyarakat meraikan kepelbagaian warisan, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk, makanan tradisional dan hasil kraf tangan.
Sehubungan itu, beliau berharap SNF terus berkembang sebagai platform bagi mempromosikan Mukah dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Beliau turut berharap semangat kerjasama yang ditunjukkan menerusi festival berkenaan dapat diteruskan bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan serta memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat.
Hadir sama, Konsul Jeneral Republik Indonesia Dr Abdullah Zulkifli, Pengerusi SNF 2026 Abdul Aziz Mura’ee serta Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak Kevin Jantan.-EDISI UKAS