Kerajaan Sarawak Lulus Pewartaan 271.18 Hektar Hutan Kayangeran Sebagai Hutan Ameniti Pertama Sarawak
LAWAS: Kerajaan Sarawak meluluskan pewartaan kawasan seluas 271.18 hektar di Hutan Simpan Kayangeran sebagai hutan ameniti masyarakat pertama di negeri ini bagi memperkukuh fungsi kawasan berkenaan sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kelulusan itu bertujuan memberikan hala tuju pengurusan yang lebih jelas kepada kawasan berkenaan, selaras dengan pembangunan Kompleks Kayangeran dan perancangan taman hutan bandar.
“Tujuannya ialah untuk memberikan hala tuju yang lebih jelas kepada pengurusan kawasan Kayangeran sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
“Ini juga selaras dengan pembangunan Kompleks Kayangeran dan perancangan ‘urban forest park’ yang akan memperluas peluang masyarakat untuk mengenali serta menghargai khazanah hutan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Terbuka dan Majlis Perasmian Kompleks Kayangeran anjuran Jabatan Hutan Sarawak, di sini pada Sabtu.
Tambah Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu lagi, pembangunan kompleks itu bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah membuka peluang untuk memperkukuh pengurusan kawasan hutan melalui penyelidikan, pendidikan, pemulihan dan aktiviti rekreasi yang dirancang secara teratur.
Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai nilai ekologi yang penting kerana merangkumi ekosistem hutan bakau dan hutan paya gambut, selain menjadi sebahagian daripada warisan alam yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Perancangan pembangunan di kawasan itu turut merangkumi integrasi pusat interpretasi ‘Heart of Borneo’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian biologi Borneo serta kepentingan pemeliharaan ekosistem hutan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, Sarawak terus memperkukuh usaha pemuliharaan hutan menerusi dasar penggunaan tanah dan pengurusan hutan yang terancang.
Katanya, daripada keseluruhan keluasan tanah Sarawak kira-kira 12.4 juta hektar, lebih 62 peratus masih diliputi hutan, manakala hampir 900,000 hektar telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA)
Sarawak juga telah mewartakan hampir lima juta hektar sebagai Hutan Simpan Kekal, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan negara di bawah litupan hutan.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan hutan tidak boleh diserahkan kepada agensi perhutanan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, penyelidik dan masyarakat setempat.
“Kemusnahan hutan boleh menjejaskan sumber air, biodiversiti, keselamatan makanan, kesihatan dan kehidupan manusia. Justeru, pembangunan ekonomi perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya lagi. -EDISI UKAS