Kesedaran Keselamatan, Kebersihan Sungai Perlu Diterjemah Kepada Tindakan
BAU: Kesedaran mengenai keselamatan dan kebersihan sungai perlu diterjemahkan kepada tindakan serta amalan harian masyarakat bagi memastikan sungai di Kampung Suba Buan terus terpelihara dan selamat digunakan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, keberkesanan program kesedaran tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sikap dan penglibatan berterusan masyarakat dalam menjaga sungai.
“Yang lebih penting bukanlah berapa banyak program yang telah kita adakan, tetapi sejauh mana kesedaran yang disampaikan dapat ditukar kepada tindakan dan amalan masyarakat setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Dewan Ayak, Kampung Suba Buan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, sungai masih menjadi lokasi rekreasi penduduk, khususnya untuk aktiviti mandi-manda, justeru aspek keselamatan perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, beliau meminta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi berkaitan meneliti keperluan menyediakan maklumat keselamatan serta papan tanda amaran di lokasi yang dikenal pasti berisiko, tertakluk kepada penilaian dan bidang kuasa pihak berkenaan.
“Kita mahu sungai terus dimanfaatkan oleh masyarakat, tetapi keselamatan nyawa mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru turut menekankan tanggungjawab masyarakat untuk memastikan sungai dan kawasan sekitarnya sentiasa bersih, termasuk tidak membuang sampah ke dalam sungai, memelihara kawasan tebing serta melaporkan sebarang keadaan yang boleh mendatangkan bahaya.
Penglibatan ketua masyarakat, golongan belia dan penduduk dalam aktiviti gotong-royong serta pendidikan alam sekitar juga penting bagi membudayakan amalan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai secara berterusan.
Program berkenaan turut menyaksikan aktiviti pelepasan anak ikan sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan ekosistem akuatik.
Pada majlis sama, Datuk Henry meluluskan bantuan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Suba Buan, manakala Lembaga Sungai-Sungai Sarawak turut meluluskan RM10,000 kepada JKKK Kampung Suba Buan.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pengangkutan Sungai dan Laut, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Constatine Gerald David Jonas yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian, Penolong Pengawal (Keselamatan Sungai), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Leo Nanang, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Pemanca Robert Tom Juin serta Ketua Kaum Kampung Suba Buan, Karim Lidek.-EDISI UKAS